Assalamualaikum,
2 Februari 2014 - Satu hari yang meninggalkan seribu satu kenangan buat saya sekeluarga.
Ia hari yang menyedihkan buat kami semua. Ini kerana Ayahanda saya, Haji Mat Saad Bin Hassan telah kembali ke Rahmatulllah.
Kisah Abah
Abah saya berusia 69 tahun. Alhamdulillah, sepanjang hidup abah jarang mengalami masalah kesihatan yang serius walaupun masih mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis. Tapi, kedua duanya terkawal dan tidak serius.
Di Parit Buntar, abah merupakan Pengerusi Surau An Najah, Simpang 4 & Pengerusi Masjid Hijau, Kampung Kedah di samping memegang jawatan dalam Pertubuhan Pelandang Kawasan Parit Buntar,
Alhamdulillah, abah memang banyak menyumbang kepada masyarakat di sini. Jika ada kematian, kenduri, majlis tahlil, abahlah antara yang terawal datang untuk membantu mereka yang memerlukan. Syukur Alhamdulillah, sepanjang hidup abah ringan tulang untuk membantu orang lain.
Kenduri Di Rumah Bisan Di Melaka
Bulan lepas, kami sekeluarga menerima jemputan daripada bisan abah di Melaka untuk menghadiri kenduri perkahwinan anak mereka.
Abah dan mak berhasrat untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut. Pada masa yang sama, Abah dan Mak juga nak berjalan ke rumah adik saya di Bangi sebelum ke Melaka.
Pada hari Selasa, 28 Januari 2014. Saya sekeluarga bergerak ke Bangi untuk menghantar Mak dan Abah ke rumah adik saya di sana.
Saya kemudiannya bergerak ke Gambang, Kuantan Pahang untuk menghadiri program Train The Trainers anjuran Dr Azizan Osman selama 5 hari.
Pada 31 Januari 2014, hari Jumaat, Mak & Abah serta keluarga adik saya bergerak menuju ke Ayer Molek Melaka dan tinggal di Homestay di sana. Majlis perkahwinan pada hari Sabtu. Mereka saja datang awal bagi meraikan keluarga pengantin di sana.
Hari Sabtu, majlis berjalan dengan lancar. Mak & Abah serta adik saya semuanya pulang ke rumah Homestay yang di sewa.
Abah Sakit Perut Yang Serius
Pada hari Ahad pagi, sekitar jam 8.30 Abah mula mengalami masalah sakit perut yang serius. Pada waktu itu, Abah baru selesai berwudhuk bagi menunaikan Solat Dhuha.
Namun, semuanya terbantut kerana sakit perut yang melampau.
"Aduh.... Duha, Abah sakit perut teruk ni. Tak boleh tahan ni.... Allahhhhhh !!!!", Abah mengerang kesakitan sambil memegang perutnya.
Emak saya pula terus mengambil minyak panas untuk digosok di perut abah.
Abah muntah-muntah, loya dan sudah rasa macam nak pengsan.
Mula mula, Mak dan adik saya sangka mungkin abah tersalah makan ataupun perut abah kosong. So, adik saya cepat cepat bergegas keluar untuk mencari makanan.
Setiba di rumah, Abah dah ok sikit. Tapi, sudah tidak bertenaga. Abah macam dah tak lalu nak makan.
Disebabkan keadaan abah dah ok sket, mereka buat keputusan untuk bergegas pulang ke Bangi segera.
Jam 11 pagi, mereka bergerak dari Melaka ke Bangi.
Ketika dalam perjalanan, ketika berada di Senawang. Adik saya ternampak di cermin yang nafas Abah dalam keadaan tersekat. Macam dah tarik.
Adik saya segera memberhentikan kenderaan di tepi dan kemudian terus masuk ke pintu di bahagian belakang bagi melihat keadaan Abah.
Melihat keadaan Abah yang serius, adik ipar saya terus membawa kereta menuju ke Senawang Specialist Hospital.
Dalam kereta, keadaan Abah bertambah kritikal. Adik saya mengajar Abah untuk mengucap beberapa kali.
Dalam keadaan separuh sedar, Abah mengucapkan "Lailahaillallah, Allahuakbar" sebanyak dua kali sebelum pengsan tidak sedarkan diri.
Semasa tiba di Hospital, Abah terus di bawa ke Wad Kecemasan dan diangkat naik ke atas katil. Pada waktu itu, Abah sudah tidak sedarkan diri.
Doktor meletakkan wayar di badan Abah untuk mengesan denyutan nadi. Di skrin komputer, denyutan nadi Abah berada di tahap yang sangat rendah.
Sehinggalah tiba tiba, mesin itu berbunyi... "Tiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiit" tanpa hati sambil menunjukkan garisan lurus.
"Innalillahiwainnailaihirajiun". Abah sudah tiada lagi di dunia ini.
Di bilik kecemasan, semua orang berasa terkejut. Mak cuba menenangkan diri dengan berselawat sebanyak mungkin. Adik saya menangis memeluk Abah.
Suasana pilu menyelubungi bilik kecemasan.
Adik ipar saya, Ainul terus menghubungi kami adik beradik yang lain. Memaklumkan berita pemergian Abah yang tersayang.
Syukur Adik Beradik Semuanya Ada Di KL
Untuk pengetahuan anda, pernah terlintas di hati saya. Jika ada 'kematian' dalam keluarga saya, macam manalah agaknya keadaannya.
Ini kerana semua adik beradik saya berkerja jauh. Abang sulung bekerja di Jakarta, Indonesia. Abang kedua di Kubang Kerian, Kelantan dan adik saya berkerja di Bintulu, Sarawak.
Syukur Alhamdulillah, pada hari kejadian. Abang saya di Indonesia sedang bercuti selama seminggu dan berada di Shah Alam. Abang saya yang kedua, bercuti Tahun Baru Cina dan masih berada di Kuala Lumpur. Adik saya juga bercuti sebab majlis perkahwinan adik iparnya di Melaka.
Kiranya, mereka bertiga berada tidak jauh dari Senawang.
Selepas menerima berita yang mengejutkan ini, kedua dua abang saya terus bergegas ke Senawang. Dalam tempoh kurang 1 jam, mereka tiba di sana.
Saya Tidak Dapat Dihubungi
Pada waktu itu, saya berada di Gambang, Kuantan Pahang kerana menghadiri kursus Train The Trainers selama 5 hari di sana. Hari Ahad tersebut merupakan hari terakhir.
Semasa di sana, kami para peserta tidak dibenarkan menggunakan telefon. So, saya ambil keputusan untuk tutup phone saya.
Disebabkan itu, Maria tidak dapat menghubungi saya untuk memaklumkan kepada saya berita ini.
Semua adik beradik saya cuba menghubungi saya, namun tak seorang pun berjaya.
Akhirnya, Maria buat posting di Facebook dan Tag nama saya meminta tolong mereka yang berada di Gambang untuk mencari saya.
Disebabkan ramai rakan-rakan saya staff Richworks dan mereka juga berada di sana. Mereka terus mencari saya selepas mendapat tahu berita tersebut.
Saya hanya dapat dikesan pada waktu rehat, sekitar jam 2.00 petang.
Selepas mendapat berita tersebut, saya terus menghubungi Maria. Selepas mendapat pengesahan apa yang berlaku, saya terus mengemas semua pakaian saya dan bergerak pulang ke Kuala Lumpur.
Masalah saya tidak berakhir di situ.
Masalah utama, saya ke Gambang menaiki kereta kawan saya. So, saya tiada pilihan melainkan terpaksa balik ke Kuala Lumpur dengan kereta kawan saya.
Masalah seterusnya, di mana saya nak cari kawan saya ini. Saya tidak dapat menghubungi beliau kerana beliau turut menutup telefon.
Allahuakbar.
Kemudian, saya berdoa kepada Allah agar ditunjukkan di mana kawan saya ini berada.
Hati saya terdetik untuk mencari sahabat saya ini di Surau, berhampiran tempat program dijalankan.
Alhamdulillah, telahan saya tepat. Syukur.
Saya memaklumkan kepada beliau dan terus meminta kunci kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi mengambil kereta saya di Keramat.
Saya minta beliau tumpang sesiapa di Gambang untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Perjalanan Pulang Yang Meletihkan
Saya bergerak pulang dari Gambang sekitar jam 2.30 petang. Masalahnya pada waktu itu, saya berada dalam keadaan yang sangat letih.
Saya bangun pagi itu seawal jam 4.00 pagi bagi program Qiamullail.
Kemudian kami ada aktiviti berjogging beberapa kilometer sebelum aktiviti renang.
Energy saya pada petang itu agak low. Allahuakbar.
Saya berdoa kepada Allah, agar perjalanan saya ini dipermudahkan Allah.
Perjalanan dari Gambang menuju ke Bentong agak lancar. Saya memecut pada kelajuan sekitar 140km-150km sejam.
Perjalanan terbantut ketika saya mula sampai di kawasan Genting Sempah di mana kawasan itu berbukit.
Memandangkan hari itu hari Ahad dan musim cuti Tahun Baru Cina, kereta di lebuh raya menuju ke Kuala Lumpur sangat sesak.
Saya tiada pilihan, saya memotong menggunakan laluan kecemasan. Saya berikan lampu kecemasan dan terus berada di lorong kiri hampir sepanjang perjalanan di situ.
Dalam hati saya berdoa, "Ya Allah, permudahkan perjalanan saya."
Saya tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 6.00 petang.
Saya ke rumah Mak mertua saya untuk ambil kereta saya dan tinggalkan kereta kawan saya di situ.
Saya bergerak dari KL sekitar jam 6.30 petang dan hanya tiba di rumah sekitar jam 10.30 malam.
Membawa Pulang Jenazah Ke Rumah
Di Hospital Senawang, adik dan abang saya menguruskan jenazah Abah. Selepas dibuat pemeriksaan dan pengesahan, jenazah dapat dibawa keluar dari hospital sekitar jam 3.00 petang.
Mereka hanya tiba di rumah saya di Parit Buntar sekitar jam 9.30 malam.
Di rumah, segala persiapan sudah pun di atur oleh Maria dan pembantu rumah saya. Katil semuanya sudah di atur.
Ketika jenazah tiba di rumah, sudah ramai ahli keluarga yang lain dan jiran jiran yang sudah menunggu di rumah saya.
Saya Tiba Di Rumah Jam 10.30 Malam
Sepanjang perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Parit Buntar, saya agak keletihan. Bayangkan, saya bangun jam 4.00 pagi dan langsung tidak mempunyai rehat yang cukup.
Saya drive pulang dari Gambang ke Kuala Lumpur selama 3 jam setengah. Kemudian dari KL ke Parit Buntar selama 4 jam setengah.
Syukur Alhamdulillah, saya ada menggunakan supplemen Shaklee. Sedikit sebanyak, ia memberi tenaga tambahan kepada saya.
Saya hanya tiba di rumah saya sekitar jam 10.30 malam.
Setiba di rumah, saya lihat rumah saya sudah di penuhi dengan orang ramai. Saya bersalam dengan para tetamu yang rata ratanya terdiri daripada saudara mara saya dan orang kampung.
Ramai yang mengucapkan takziah kepada saya.
Saya terus masuk ke dalam rumah. Ramai tetamu yang sedang membaca Tahlil dan doa untuk arwah ayah saya.
Saya terus menuju ke jenazah ayah saya. Saya buka penutup muka, saya peluk ayah saya dan mencium beliau di dahi.
Allahuakbar.
Wajah yang saya lihat selama 33 tahun dalam keadaan bernyawa, kini sudah tiada. Meninggalkan kami semua buat selama lamanya.
Sekujur badan, berselimut putih.
Saya cuba mengawal perasaan sedih itu.
Kemudian, saya menyertai mereka yang sedang membaca Tahlil. Selepas habis tahlil, saya meminta kepada imam tersebut untuk membacakan doa untuk arwah abah.
Saya bacakan dalam bahasa Melayu agar semua orang lebih mudah faham. Bercucuran air mata saya mengalir menghayati doa yang saya baca itu.
Allahuakbar.
Sebak rasanya. Dulu, saya bacakan untuk Arwah Nenek saya, kemudian untuk Arwah Kakak saya, kini untuk Arwah Ayah saya pula.
Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan.
Pada malam tersebut, kami adik beradik bergilir gilir membaca Al Quran di sisi abah. Kami hadiahkan pahala bacaan tersebut untuk Abah.
Memandikan & Mengkafankan Mayat Arwah Abah
Sejak saya berusia 19 tahun lagi, saya sudah belajar bab pengurusan jenazah. Selepas menghadiri satu kursus pengurusan jenazah, hati saya terus terpanggil untuk belajar lebih mendalam pengurusan jenazah.
Sejak dari dulu lagi, saya dah berazam. Jika berlaku kematian dalam keluarga saya. Saya dan adik beradik yang lain mesti menguruskannya sendiri.
Sebab itulah yang terbaik.
Pada sebelah malam, saya berjumpa dengan imam yang tugasnya untuk memandikan jenazah dan bersembang dengan beliau.
"Haji, esok saya minta haji untuk bantu saya dan adik beradik saya memandikan jenazah abah saya. Kami akan mandikan sendiri, saya minta haji datang tengok dan bantu kami sahaja."
"Alhamdulillah, itu yang sebaiknya." Balas haji tersebut.
Pada pagi tersebut, apabila tiba masanya. Saya dan adik beradik yang lain sudah bersedia untuk memandikan jenazah abah.
Kami 4 beradik, dibantu oleh seorang sepupu kami dan juga seorang anak abang saya. Orang lain, kami tak benarkan masuk atau melihat kawasan memandikan jenazah tersebut.
Memang seharusnya begitu.
Seharusnya, jenazah diuruskan oleh ahli keluarga terdekat sahaja dan tidak perlu dijadikan 'wayang' untuk ditonton oleh orang lain yang tidak berkaitan.
Semasa kami memandikan jenazah abah, kami lakukan dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Kami buat secermat mungkin.
Mana mungkin kami buat kasar, kami sedang memandikan jasad arwah abah kami sendiri.
Kami mulakan dengan berniat untuk memandikan mayat. Kami ratakan air diseluruh badan. Kami sabunkan seluruh badan. Kami gosok dengan tangan dan kami bersihkan kembali dengan air bersih.
Semasa mandi, hati saya tersentuh bila adik saya mengatakan, "Abah mesti bangga dengan kita sebab kita mandikan sendiri mayat dia."
Allahuakbar. Hampir mengalir air mata saya menahan kesedihan.
Antara waktu yang paling menyedihkan saya adalah ketika saya mencuci mata arwah abah, ketika saya buka kelopak matanya. Saya terpandang matanya.
Allah Allah... Mata itulah yang saya lihat selama ini, namun hari ini mata itu sudah tidak mampu untuk melihat lagi. Mata itu sudah tertutup rapat. Rapat buat selama lamanya.
Akhir sekali, kami mengambil wudhuk untuk arwah abah.
Sepanjang tempoh ini, kami perhatikan. Dua orang yang bertugas untuk memerhatikan kami (Seorang Imam dan Pembantu) terharu dengan apa yang kami lakukan.
Sebelum habis, saya perhatikan wajah imam tersebut sangat sayu. Bila saya tanya mengapa?
Beliau jawab, "Saya tak tahu, kalau saya mati esok. Anak anak saya akan mandikan saya macam ni tak?"
Allahuakbar. Tersentuh hati saya mendengarnya.
Selepas habis memandikan jenazah, saya membaca sedikit doa ringkas agar Allah menerima kembali Abah dalam keadaan bersih.
Selepas itu, kami semua mengangkat Abah ke hadapan untuk dikafankan. Kami adik beradik menguruskan sendiri proses mengkafankan jenazah ini sambil dibantu oleh dua orang imam tadi.
Apabila semua sudah hampir ditutup, kami semua adik beradik mengambil giliran untuk mencium abah buat kali terakhir.
Apabila tiba giliran saya, saya berbisik di telinga abah. "Abah, kita jumpa lagi di syurga ya Abah. Terima kasih kerana membesarkan Daus. Selamat tinggal Abah."
Saya kucup dahi abah buat kali terakhir. Air mata saya mengalir. Sudah tidak dapat ditahan lagi.
Kemudian, kami memasukkan jenazah Abah ke dalam keranda sebelum diangkat untuk keluar rumah.
Semasa di pintu rumah, saya membuat sedikit ucapan ringkas untuk para tetamu.
Assalamualaikum,
Pertama sekali, saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Tuan dan Puan Puan kerana sudi hadir untuk memberikan penghormatan terakhir buat arwah ayah saya.
Tuan tuan, saya ada beberapa perkara yang ingin saya sampaikan kepada tuan tuan semua.
Yang pertama, saya mewakili keluarga saya ingin meminta tuan puan semua memaafkan arwah ayah saya sekiranya semasa hayat beliau, beliau ada melakukan kesilapan dan kesalahan dengan tuan puan, sama ada disengajakan atau tidak disengajakan.
Yang kedua, saya meminta sekiranya semasa hidup, ayah saya ada berhutang dengan Tuan Puan, saya mohon tuan puan datang berjumpa dengan kami untuk menuntut hutang tersebut.
Yang ketiga, saya mohon tuan puan dapat mendoakan arwah ayah saya ini semoga beliau termasuk dalam golongan hamba hamba yang soleh dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa dihisab.
Yang keempat, marilah kita semua sama sama mengambil pengajaran daripada kematian ayah saya ini. Kita harus sedar, mati boleh datang pada bila bila masa dan kita harus bersedia sentiasa. Kita kena ingat, kita juga akan mati satu hari nanti.
Sebelum kita membawa jenazah pergi, saya mohon tuan tuan semua mengaminkan doa yang saya baca ini.
Al Fatihah.
Saya kemudiannya membaca doa untuk arwah abah saya.
Allahuakbar. Berjujuran air mata saya mengalir semasa membaca doa ini. Ramai di kalangan hadirin yang sebak dengan bacaan doa yang saya baca.
Ini kerana saya membacanya dalam bahasa Melayu. Saya mahu semua orang faham apa yang saya bacakan.
Selepas itu, mayat dimasukkan ke dalam van untuk dibawa ke masjid.
Jenazah Arwah Abah di dalam van menuju ke masjid. Alhamdulillah, semasa hidup. Arwah Abah memang sering melalui jalan ini untuk ke masjid. Hari ini, jalan yang sama digunakan untuk membawa jenazah beliau. Semoga jalan jalan ini akan menjadi saksi bahawa beliau seorang yang rajin menunaikan solat berjemaah di masjid.
Pemandangan di dalam van jenazah. Di belakang itu adalah Pak Su saya iaitu adik arwah abah.
Dalam van, anak saudara saya, Yusuf yang rapat dengan Wan menangis kesedihan.
Antara tetamu yang hadir ke masjid untuk menunaikan solat jenazah. Saya mengimamkan sendiri solat jenazah ini. Selesai solat, saya membacakan doa.
Doa yang saya bacakan ini menyebabkan ramai dikalanagn hadirin yang mengalir air mata mereka. Sama sama berkongsi kesedihan dengan kami semua.
Terima kasih saya ucapkan kepada rakan rakan saya yang sanggup datang dari jauh untuk sama sama menghadiri solat jenazah untuk arwah ayah saya ini.
Kemudian, jenazah dibawa ke kubur untuk ditanam. Abang saya yang berbaju coklat membantu untuk menurunkan jenazah ke dalam kubur.
Keranda diturunkan perlahan lahan.
Selesai jenazah ditanam, saya dan adik saya mengambil tugas untuk membuat doa ringkas dan bacaan talqin. Saya membaca doa dan tahlil. Adik saya pula membaca Talqin.
Kubur Abah yang terletak di Masjid Hijau, Kampung Kedah, Parit Buntar Perak.
Semoga Roh Abah damai di sana.
Kepada Abah, Daus ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Abah atas segala yang telah Abah berikan kepada kami semua.
Semoga, Allah memberikan ganjaran syurga tanpa dihisab buat Abah. Semoga Abah damai di sana.
Abah, Daus janji akan menjaga mak sebaik mungkin. Insya Allah, kita bertemu lagi satu hari nanti di syurga. Amin. Amin. Amin Ya Rabbal Alamin.
Semoga kita semua dapat mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ke atas Arwah Abah saya. Maut boleh datang pada bila bila masa. Kita harus sentiasa bersedia.
Kepada para pembaca blog ini, saya mohon anda dapat mendoakan kesejahteraan ke atas Roh Arwah Abah saya. Mudah mudahan, akan ada doa anda yang makbul dan Allah memelihara Abah saya di sana.
Terima kasih.
Al Fatihah untuk Arwah Abah. Al Fatihah.
Jemput Baca : Part 2 : Abah !!! Damailah Engkau Di Sana
Jemput Baca : Part 3 : Abah !!! Damailah Engkau Di Sana
* Jika anda rasa entri ini dapat memberi manfaat kepada orang lain. Mohon anda tekan LIKE button di bawah ini.
sentiasa doakan yang terbaik buat abah... doa anak soleh solehah sampai padanya...
ReplyDeleteSalam takziah kpd tuan sekeluarga
ReplyDeleteAssalamualaikum. Takziah saya ucapkan kepada Tuan Haji Firdaus dan keluarga atas pemergian arwah ayahanda tercinta. Walaupun saya tidak mengenali tuan Haji, namun selalu saya mengikuti tulisan di blog tuan Haji, membaca e book tulisan tuan Haji, banyak yang dapat saya pelajari. saya kagum dengan tulisan-tulisan Tuan Haji. Menitis air mata saya tatakala membaca nukilan Tuan Haji mengenai pemergian orang yang tersayang. Alhamdullilah Tuan Haji dan adik beradik yang lain telah dapat menunaikan tanggungjawab seorang anak kepada bapa dengan sempurna hingga ke akhir hayat. Bukan mudah untuk melakukan perkara ini, semoga anak-anak saya juga mampu melakukan perkara yang sama semasa kematian saya nanti. Saya juga mendoakan agar roh ayanda tuan Haji ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan sentiasa dicucuri rahmatNYA. Amin ya rabbalalamin... alfhatihah...
ReplyDeleteTersentuh hati saya, buat firdaus dan keluarga takziah diucapkan. Semoga tabah dan kuat semangat.
ReplyDeletesalam takziah.
ReplyDeletemoga arwah abah tuan haji damai di sana.
InshaAllah..
Salam Takziah,
ReplyDeleteSaya menangis ketika membaca coretan ini. Paling terkesan...kata2 tuan yg berbunyi "...mati boleh datang pada bila bila masa dan kita harus bersedia sentiasa".
Terima kasih atas peringatan ini.
Takziah firdaus..
ReplyDeleteAl-Fatihah..Saya adalah silent reader blog haji, tapi kali ini sya betul2 tersentuh dengan entry ini.Salam takziah..
ReplyDeleteSalam takziah,
ReplyDeleteAkak doakan agar ayah daus berada di dalam golongan orang-orang yang mendapat syurga Allah.
Coretan daus memberi keinsafan kepada akak. terima kasih
Al-fatihah... Takziah utk tuan skluarga. Apabila mbca kisah saudara, tnp sy sedar air mta saya mengalir semahu mahunya. Ini krna sy juga baru khilgn ayahanda yg sgt saya syngi.. Ya, bapa sya juga seorg pngerusi surau, juga pengerusi ppk bndar baharu, kdh. Bapa sy juga tinggalkn kmi skluarga dlm keadaan mngejut d mna beliau baru sj menelefon n bbual dgn sya, dan spluh minit kmudian sy mndpt pnggiln yg bapa sy sudah dijemput illahi dlm pangkuan emak. Kisah saudara hampir sama dgn kisah sya, wpun 18 oktober 2013 tlh lma blalu nmun sy msh rsa spt baru smlm sya bckp telefon dgn arwah bapa.. Smog bapa sy n arwah abah en firdaus ditempatkn bsama golongan para solihin. Kirim slm pd dhuha, classmate sy d skptm n kirim slm kpd ibu saudara, bekas anak murid bapa saya- arwah hj abdul rahman b noordin
ReplyDeleteSalam Takziah
ReplyDeleteAl-Fatihah. Saya betul-betul tersentuh apabila membaca coretan saudara. Tanpa saya sedari air mata saya mengalir dengan banyaknya. Coretan, betul-betul memberi keinsafan buat saya. Semoga roh ayah saudara di tempatkan dalam syurga Allah. Setiap yang hidup pasti akan mati.
Takziah tuan diatas kematian ayahanda.....Semoga Allah Azzawajalla menempatkan ayahanda dlm kalangan golongan yg sedikit.....Al Fatihah......
ReplyDeleteSyukur Alhamdullilah krana anak-anak/keluarga tuan mampu mngurus jenazah ayahanda....bakti terakhir anak2/keluarga kpd ayahanda........
pengalaman saya mmandikan jenazah bertah,mcm2 karenah kelurga saya jumpa bila mnta tolong untuk mandikan jenazah ahli keluarga mereka........yg tahu tanggjawab akan respon,tpi yg sedih bila ade yg menolak.......nak tegur,takut terasa hati.....diam2 kan sajee laa.......tpi Alhamdullilah,keluarga tuan yg trbaik....mampu melakukan.......semoga keluarga tuan dpt barakah dn rahmat serta keampunan Allah....